Di dalam sepotong hadith, Rasulullah ﷺ pernah bersabda,
«لا تضيموا النظر إلى المجزومين»
«Janganlah kamu memanjangkan renungan kamu kepada pengidap penyakit kusta. »
Ada beberapa riwayat lain yang mempunyai sambungan daripada apa yang telah disebutkan tadi. Rasulullah ﷺ memberitahu kepada kita bahawa penglihatan yang pertama itu bahagian kita, tetapi jangan pula ia dipanjang-panjangkan.
Apa yang dimaksudkan dengan hadis ini ialah ketika mana Rasulullah ﷺ mengingatkan kita agar menjauhkan diri daripada penyakit kusta, pada masa yang sama Rasulullah ﷺ juga menjaga hati dan perasaan pesakit penyakit kusta ini tadi.
Apabila kita merenung pesakit berkenaan, ia mungkin mendatangkan rasa tidak selesa, semakin terasing dan rendah diri dengan penyakit yang ditanggung oleh pesakit berkenaan. Ini menggambarkan bagaimana Rasulullah ﷺ sebagai rahmat kepada sekelian alam, hinggakan perasaan dan apa yang dialami di dalam jiwa pesakit itu pun baginda berikan perhatian dan memperingatkannya kepada umat.
Saya melihat bagaimana hadis ini satu daripada dimensi yang boleh menampakkan bagaimana inklusif dan pengasihnya Rasulullah ﷺ membawa mesej Islam. Islam yang diungkapkan oleh baginda ketika dunia masih gelap daripada konsep inklusif seperti mana yang dibincangkan pada hari ini.
Pengajarannya kepada kita dalam konteks zaman ini:
Kita perlu peka dan berhalus dari segi tingkah laku kita dan kesannya kepada orang sekeliling.
Kadang-kadang cara kita memerhati, cara kita berinteraksi, mendatangkan kemudaratan kepada orang sekeliling kita dalam keadaan mungkin kita tidak sedar. Apatah lagi jika kita mendakwa bahawa rasa hendak tengok atau tidak itu adalah hak kita lantas tidak peduli kepada kesannya terhadap orang lain.
Jika kita berakhlak dengan akhlak yang diajar oleh Nabi Muhammad ﷺ , dunia ini akan menjadi lebih baik.
Maka janganlah kita dalam itibak kita mengikut teladan Nabi ﷺ , kita menghadkan ikutan kita hanya kepada menepatkan soal ibadah kita dengan cara baginda beribadah, ataupun akidah kita dengan akidah yang diajar oleh Nabi ﷺ.Sebaliknya akhlak kita juga mestilah selari bertepatan dengan akhlak Nabi ﷺ. Masyarakat yang remeh-meremehkan satu sama lain, buli-membuli, siapa lebih betul berbanding siapa… tidak ada siapa yang menang dalam situasi sebegini. Masyarakat diheret kepada kerosakan dan kemusnahan.
Semoga ada manfaat daripada peringatan bersama yang saya kongsikan ini.
Wallahu a’lam.
#tazkirah #muhasabah #renungan #peringatan #inklusif #hasrizalabduljamil #ustazhasrizal
Maklumat
- Rancangan
- KekerapanDua Minggu Sekali
- Diterbitkan27 Oktober 2024 11:04 PG UTC
- Panjang3 min
- PenilaianBersih