ADHD DEWASA is a reader-supported publication. To receive new posts and support my work, consider becoming a free or paid subscriber. Jazākumullāhu khairan. Ada satu soalan yang nampak mudah, tetapi sebenarnya sangat berat. “Kalau boleh pilih, adakah saya mahu hidup dengan ADHD, atau tidak?” Jawapan saya jelas. Kalau saya benar-benar boleh memilih, saya memilih untuk hidup tanpa ADHD. Bukan kerana saya malu dengan diri sendiri. Bukan kerana saya menolak sejarah hidup saya. Bukan juga kerana saya tidak nampak kekuatan tertentu yang hadir bersama cara otak saya bekerja. Jauh sekali menolak takdir. Tetapi kerana saya tahu, dengan sangat dekat dan sangat peribadi, harga yang dibayar untuk hidup dengan ADHD. Kita berterusan menyaksikan kecenderungan semasa, khususnya di media sosial, untuk meromantikkan ADHD. Ia disebut sebagai superpower. Ia dikaitkan dengan kreativiti, pemikiran divergent, keberanian mencuba, dan keupayaan hyperfocus. Sebahagian daripada itu memang ada benarnya. Ramai individu ADHD mempunyai kekuatan yang nyata. Tetapi masalahnya bermula apabila kita hanya bercakap tentang kekuatan itu, lalu menenggelamkan kos sebenar yang ditanggung oleh tubuh, minda, hubungan, kerja, keluarga, dan masa depan. ADHD bukan sekadar gaya personaliti. Ia bukan sekadar “mudah bosan”. Ia bukan sekadar “hiperaktif”. Ia ialah gangguan perkembangan neurobiologi yang memberi kesan kepada fungsi eksekutif dan self-regulation. Dalam kerangka Barkley, ADHD lebih tepat difahami sebagai gangguan mengurus diri untuk melakukan perkara yang kita sendiri tahu ia perlu dilakukan (Barkley, 1997, 2012; Barkley et al., 2008). Itulah bahagian yang paling sukar diterangkan kepada orang luar. Masalahnya bukan tidak tahu. Masalahnya ialah tidak dapat mengatur diri secara konsisten untuk bertindak berdasarkan apa yang kita ketahui. Maka apabila saya berkata, “Kalau boleh memilih, saya memilih untuk tidak memiliki ADHD,” saya tidak sedang membenci diri. Saya sedang bercakap jujur tentang realiti. Ada enam sebab. 1. SUSAH BELAJAR Susah belajar dengan ADHD bukan bermaksud kita tidak cerdas. Ramai individu ADHD sangat cerdas. Sebahagian daripada kita cepat menangkap idea, cepat melihat pola, cepat menghubungkan satu konsep dengan konsep lain. Tetapi belajar bukan hanya tentang memahami. Belajar juga memerlukan konsistensi. Ia memerlukan fokus yang berpanjangan. Ia memerlukan working memory. Ia memerlukan keupayaan merancang, menyusun masa, memulakan tugasan, menahan gangguan, menyiapkan kerja, dan menghantar kerja sebelum tarikh akhir. Di sinilah ADHD menekan hidup. Kita boleh faham kuliah tetapi gagal menyiapkan tugasan. Kita boleh mempunyai idea yang kuat tetapi tidak sempat menyusunnya menjadi esei. Kita boleh membaca dengan minat yang tinggi pada satu hari, kemudian hilang rentak sepenuhnya pada hari berikutnya. Brown (2013) menjelaskan ADHD sebagai gangguan pada sistem pengurusan kognitif otak, iaitu executive functions. Ini penting kerana ia mengalihkan kefahaman kita daripada “pelajar ini tidak mahu belajar” kepada “pelajar ini bergelut dengan sistem dalaman yang diperlukan untuk belajar secara konsisten”. Bagi saya, inilah antara luka paling awal ADHD. Bukan kegagalan akademik itu sahaja yang menyakitkan, tetapi rasa kecewa dan malu yang datang bersamanya. Kita tahu kita mampu. Tetapi bukti di atas kertas tidak menunjukkan kemampuan itu. 2. SUSAH BEKERJA ADHD tidak tamat selepas sekolah atau universiti. Ia ikut masuk ke dunia kerja. Di tempat kerja, yang dinilai bukan lagi potensi, tetapi output. Bukan lagi idea yang hebat semata-mata, tetapi sama ada idea itu siap, dihantar, disusuli, dilaksanakan dan membuahkan hasil. Dunia kerja menghargai ketepatan masa, kejelasan prioriti, susunan fail, e-mel yang dijawab, janji yang ditepati, mesyuarat yang diingati, tugasan yang ditutup, dan projek yang tidak dibiarkan tergantung. Semua ini berada tepat di daerah paling mencabar bagi ramai individu ADHD. Kajian Barkley et al. (2008) menunjukkan ADHD dewasa berkait dengan impairment dalam pelbagai domain kehidupan utama, termasuk pekerjaan, pendidikan, hubungan sosial, kewangan, pemanduan, dan tanggungjawab harian. Dalam edisi awam yang lebih praktikal, Barkley (2022) juga menekankan bahawa ADHD boleh menjejaskan prestasi kerja, pengurusan masa, melengkapkan pendidikan, kewangan, hubungan, dan kesihatan. Ini bukan isu malas. Ini isu self-regulation. Ada individu ADHD yang sangat berbakat, tetapi bakat itu tidak muncul secara stabil. Ada hari kita seperti mampu melakukan kerja tiga orang. Ada hari kita gagal melakukan satu kerja kecil yang sepatutnya selesai dalam tempoh sepuluh minit. Masalahnya, dunia kerja jarang menilai kita berdasarkan hari-hari terbaik kita. Dunia kerja menilai konsistensi. Dan ADHD menyerang konsistensi itu. 3. SUSAH BERUMAHTANGGA Ini bahagian yang jarang dibincangkan dengan jujur. ADHD bukan hanya menjejaskan belajar dan bekerja. Ia masuk ke ruang paling peribadi lagi intim dalam hidup manusia: rumahtangga. Dalam hubungan suami isteri, masalah ADHD boleh kelihatan seperti tidak peduli, tidak mendengar, tidak bertanggungjawab, atau tidak mengambil berat. Seseorang terlupa janji. Seseorang lambat bertindak. Seseorang tidak memberi reaksi. Seseorang hilang fokus ketika pasangannya sedang bercakap. Seseorang cepat marah, cepat defensif, atau terlalu impulsif dalam berbicara. Dari luar, semua itu nampak seperti masalah akhlak atau krisis cinta. Tetapi dari dalam, sebahagiannya ialah masalah regulasi. Barkley (2022) menekankan bahawa emotion regulation, self-awareness, dan keupayaan membaca isyarat sosial boleh memberi kesan besar kepada hubungan orang dewasa dengan ADHD. Masalah mengawal kemarahan, kekecewaan, dan reaksi emosi boleh mencipta konflik yang berulang. Lama-kelamaan, pasangan bukan hanya letih dengan peristiwa besar. Pasangan letih dengan pengulangan kecil yang tiada kesudahannya, selagi hayat masih ada. Cinta boleh bertahan dalam banyak keadaan. Tetapi rasa itu juga boleh menjadi penat. Apabila ADHD tidak difahami, rumah boleh menjadi tempat dua orang saling salah tafsir. Seorang berasa diabaikan. Seorang lagi berasa gagal, walaupun sedang mencuba. 4. SUSAH BERKELUARGA Keibubapaan memerlukan struktur. Anak-anak memerlukan rutin, batas, konsistensi, emosi yang stabil, dan kehadiran yang boleh dijangka. Mereka memerlukan orang dewasa yang bukan sahaja menyayangi mereka, tetapi juga mampu mengurus kehidupan harian dengan cukup stabil untuk menjadi tempat mereka berpaut. ADHD sering mengganggu struktur itu. Kita mahu hadir, tetapi terlupa. Kita mahu tenang, tetapi cepat tertekan. Kita mahu konsisten, tetapi sistem dalaman kita sendiri tidak konsisten. Kita mahu menjadi ibu bapa terbaik, tetapi ada hari-hari apabila bunyi, tuntutan, konflik kecil, kerja rumah, jadual sekolah, dan keperluan emosi anak-anak terasa terlalu banyak untuk diproses sekaligus. Dalam kajian dan penulisan klinikal tentang ADHD dewasa, kesan terhadap hubungan keluarga dan keibubapaan bukan isu kecil. Barkley et al. (2008) memasukkan domain perkahwinan, keluarga, dan fungsi sosial sebagai sebahagian daripada gambaran impairment ADHD dewasa. Dalam penulisan untuk keluarga, Barkley (2017, 2022) juga menekankan bahawa ADHD orang dewasa memberi kesan bukan sahaja kepada individu itu sendiri, tetapi juga kepada orang yang hidup bersamanya. Bahagian paling berat ialah belenggu rasa bersalah. Kita tahu kita sayang keluarga. Kita tahu kita mahu menjadi lebih baik. Namun, niat baik tidak selalu menghasilkan tindakan yang konsisten. Dan itulah salah satu penderitaan senyap ADHD: jurang yang besar antara kasih sayang dan kemampuan regulasi yang terbatas. 5. TERLEWAT DALAM SEGALANYA Ini mungkin sebab yang paling menyakitkan bagi saya. ADHD tidak semestinya menghalang seseorang daripada sampai. Tetapi ia sering membuat seseorang sampai lewat. Lambat stabil. Lambat siap. Lambat percaya diri. Lambat faham apa yang sebenarnya berlaku. Lambat mendapat diagnosis. Lambat membina sistem. Lambat membezakan antara kelemahan moral dan cabaran neurobiologi. Kita melihat orang lain seperti berjalan di jalan yang lurus, sedangkan kita seperti terpaksa melalui laluan yang berpusing-pusing. Ada yang sudah membina kerjaya ketika kita masih membaiki runtuhan akademik. Ada yang sudah stabil dari segi kewangan ketika kita masih belajar mengurus reaksi dan masa. Ada yang sudah tenang dengan diri sendiri ketika kita masih memproses bertahun-tahun rasa malu. Barkley et al. (2008) menunjukkan bahawa ADHD dewasa berkait dengan impairment yang luas dalam pendidikan, pekerjaan, kewangan, hubungan, pemanduan, dan tanggungjawab harian. Ini bukan sekadar satu masalah kecil dalam satu sudut hidup. Ia boleh menjadi kelewatan sistemik dalam banyak lintasan perkembangan hidup. Sebab itu saya sering berfikir: Kalau tanpa ADHD, pada usia berapa saya boleh sampai ke tempat yang saya capai sekarang? Berapa banyak kegagalan boleh dielakkan? Berapa banyak tahun boleh dijimatkan? Berapa banyak tenaga emosi yang tidak perlu dibakar hanya untuk memulihkan diri daripada perkara yang orang lain anggap remeh? Saya tidak menyesal atas seluruh perjalanan hidup ini. Ada hikmah, ada ilmu, ada empati, ada suara advokasi yang lahir daripada pengalaman itu. Tetapi jujur tetap jujur. Jalan ini sangat mahal harganya. 6. RISIKO KESIHATAN DAN PENDEK UMUR Ini fakta yang ramai tidak tahu. ADHD bukan sekadar “quirky”. ADHD bukan sekadar gaya bekerja pada saat akhir. ADHD boleh membawa kos kesihatan yang serius. Barkley dan Fischer (2019) meneliti data longitudinal dan menganggarkan bahawa ADHD jenis gabungan pada zaman kanak-kanak dikaitkan dengan pengurangan estimated life expectancy pada individu dewasa di usia muda. Dalam kajian itu, ADHD pada zaman kanak-kanak dikaitkan dengan pengurangan 9.5 tahun dalam healthy estimated life expectancy dan 8.4 tahun dalam total estimated life expectancy berbanding kumpulan kawalan. Apabila ADHD berterusan hingga dewasa, pengurangan estimated li