Hadis Ke - 2 ISLAM, IMAN DAN IHSAN Daripada Umar RA juga, katanya “Ketika kami duduk bersama - sama Rasulullah ﷺ pada suatu hari, sekonyong-konyong muncul seorang lelaki yang berpakaian putih bersih teramat putih, rambut yang hitam tersangat hitam dan tidak kelihatan padanya kesan daripada suatu perjalanan (yang jauh) dan tiada seorang pun dalam kalangan kami yang mengenalinya. Kemudian beliau merapatkan kepala lututnya ke kedua - dua kepala lutut Nabi ﷺ yang satu lagi dan meletakkan kedua-dua tapak tangannya di atas kedua-dua pahanya. Dan beliau berkata: “Ya Muhammad! Beritahulah padaku mengenai Islam. Maka Rasulullah ﷺ bersabda: “Islam adalah hendaklah kamu bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad adalah pesuruh Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadan dan mengerjakan haji di Baitullah bagi sesiapa yang berkemampuan ke sana. “Kata lelaki itu: “Benar kamu.” Maka kata-katanya itu menghairankan kami sedangkan dia yang telah bertanya, maka dia pula yang membenarkannya (mengiyakannya). Lelaki itu berkata lagi: “Maka beritahulah padaku tentang iman.” Sabda Rasulullah SAW: “Iman itu adalah hendaklah kamu beriman dengan Allah, para malaikatNya, kitab - kitabNya, para RasulNya, hari kiamat dan hendaklah kamu beriman dengan ketentuan baik dan buruknya.” Kata lelaki itu “Kamu telah berkata benar. Kemudian lelaki itu berkata lagi: “Maka beritahulah padaku tentang ihsan.” Sabda Rasulullah SAW: “Ihsan itu adalah hendaklah kamu menyembah Allah, seolah-olah kamu melihatNya dan sekiranya kamu tidak melihatNya, maka sesungguhnya Dia melihat kamu.” Kata lelaki itu lagi: “Maka beritahulah padaku tentang hari kiamat.” Sabda Rasulullah ﷺ: “Tidaklah orang yang ditanya itu lebih mengetahui daripada orang yang bertanya.” Kata lelaki itu: “Maka beritahulah kepadaku tentang tanda-tandanya.” Sabda Rasulullah ﷺ: “Apabila seorang wanita melahirkan tuannya. Dan kamu akan dapat melihat pengembala - pengembala kambing yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan faqir berlumba - lumba dalam membina bangunan tinggi.” Kemudian lelaki itupun pergi. Kemudian aku menunggu dalam jarak waktu yang agak lama. Lalu Rasulullah ﷺ bersabda: “Ya Umar! Adakah kamu tahu siapakah yang bertanya itu?” Aku menjawab: “Allah dan RasulNya lebih mengetahui.” Sabda Rasulullah ﷺ: “Sesungguhnya ia adalah Jibril, dan ia datang kepada kamu untuk mengajari kamu tentang agama kamu.” (Diriwayatkan oleh Muslim) Hadis ini telah diriwayatkan oleh: 1. Muslim di permulaan kitab Al-Iman, hadis no. 8. 2. At-Tirmizi di dalam kitab Al-Iman, hadis no. 2738. 3. Abu Daud di dalam kitab As-Sunnah, (Bab mengenai qadar), hadis no. 4695. 4. An-Nasa'i di dalam kitab Al-Iman. (Bab sifat Islam), hadis no. 978/ KEPENTINGAN HADIS Ibnu Daqiq Al-Aid telah berkata: “Ini adalah hadis yang besar kedudukannya yang merangkumi kesemua tanggungjawab amalan-amalan zahir dan batin. Kesemua Ilmu syariat dirujukkan padanya dan bercabang darinya. Justeru ia merangkumi segala Ilmu sunnah, maka ia adalah seumpama ibu kepada sunnah, sebagaimana dinamakan Al - Fatihah itu sebagai “Ummul Quran” (ibu kepada Al Qur'an), justeru ia merangkumi kesemua makna Al Quran.” Hadis ini adalah daripada kalangan hadis-hadis mutawatir lantaran ianya telah diriwayatkan daripada riwayat lapan orang sahabat yang mulia RA. Mereka adalah; Abu Hurairah, Umar, Abu Zar, Anas, Ibnu Abbas, Ibnu Umar, Abu Amir Al-Asy'ari dan Jarir Al-Bijli RA.